Sunday, September 13, 2009

Tentang Iman


Kenapa iman penting? Iman penting bagi setiap individu Muslim dan juga organisasi dakwah kerana beberapa faktor:

1. Iman merupakan prioriti utama di dalam kehidupan muslim. Ingatlah ungkapan Harithah b. Malik al-Ansori ketika menjawab pertanyaan Rasulullah s.a.w: “Bagaimana kamu hari ini wahai Harithah?” Jawab Harithah: “Aku dalam keadaan sebagai seorang mukmin yang sebenar.”

2.Iman adalah asas yang menerbitkan amal dan akhlak. Tidakkah kita lihat bagaimana Allah memadukan iman dan amal di dalam ayat-ayat al-Quran sebagai bukti iman yang hidup dan dinamik. Sinergi inilah yang disebut Baginda s.a.w di dalam hadisnya: "Islam itu sifatnya terang (dizahirkan) sedangkan iman bertakhta di hati." Bukankah jasad yang baik dari sekeping hati yang baik, begitulah sebaliknya, jasad yang buruk berpunca dari hati yang buruk.

3. Iman adalah faktor untuk melaksanakan amal dengan bersungguh-sungguh, ihsan, teliti dan kuat. Sabda Rasulullah s.a.w: "Sesungguhnya Allah amat suka apabila salah seorang daripada kamu melakukan satu-satu pekerjaan, dia bersungguh-sungguh."

4. Dakwah dan harakah yang bergerak di atas iman yang hidup, dinamik, fresh akan memberikan kesan, hasil dan keberkatan pada individu, masyarakat dan realiti.

5. Iman adalah sebaik-baik bekalan di dalam memikul beban dakwah dan perjalanan yang tidak bertepi ini. Imanlah yang memberikan kethabatan (keteguhan) pada amal kita.

6. Imanlah yang menghasilkan pendirian hebat, pejuang luar biasa, berkorban harta dan nyawa sebagaimana para sahabat dan seerah salafussolih.

7. Iman juga menjadi tali pengikat antara matlamat yang jauh dan berfasa dengan wawasan besar dan dekat. Hubungan amal ini menjadi padu dan utuh.

Mengapa seringkali iman kita lemah? Antara sebab-sebab yang membawa kelemahan iman ialah:

1. Larut dan tenggelam dalam kesibukan duniawi. Kita sibuk dengan urusan kerja kita, anak-anak, isteri, dan keluarga. Kita sibuk mengumpul dan menimbun harta. Allah berfirman: “Mereka disibukkan dengan harta dan ahli keluarga mereka..” (al-Fath: 11). Sibuk mengejar kenaikan pangkat, jawatan dan kedudukan. Ketika Umar r.a. melalui pasar dia berkata kepada dirinya: “Sorakan dan tepukan di pasar-pasar telah melalaikan diriku..”. Bertanyalah diri kita dan bermuhasabahlah agar kita tidak dilekakan dengan kehidupan dunia.

2. Lalai dengan sebab yang boleh menambah dan menyubur iman. Kata salah seorang sahabat Nabi s.a.w: “Iman bertambah dan berkurang, bila kami ingat Allah, maka itu tanda iman bertambah, bila kami lupa dan leka, maka itu tanda iman berkurang..”. Para sahabat r.a sentiasa menyebut: “Wahai Rasulullah s.a.w, apabila kami bersamamu, hati kami jadi lembut seolah-olah kami ahli akhirat, namun bila kami keluar majlis bersama engkau lalu disibukkan dengan isteri, anak-anak dan perkara sia-sia, maka hati kami jadi keras, maka kami telah menjadi ahli dunia..”.

3. Banyak beban dan tanggungjawab serta urusan yang berkaitan dengannya sehingga kita tidak ada ruang untuk mengintrospek diri dan memberikan hak hati dan jiwa.

4. Lemah mutabaah (follow-up) dan taujih imani dari murabbi dan memberikan perhatian utama dalam proses tarbiyah kepada mutarabbi. Pertemuan-pertemuan kita kering dan gersang dari ma’ani imani.

5. Banyak pertemuan-pertemuan kita lebih bersifat idari (pengurusan), kekeringan ruh, banyak berselisih pendapat dan berdebat, menonjolkan diri sehingga hilang makna kelembutan jiwa.

Mari kita rawat dan segarkan iman kita dengan perkara berikut:

Tahap Individu:

1. Sentiasa bertafakur dan memikirkan kejadian alam. Berfikir sesaat lebih baik dari bangun sepanjang malam. Begitulah kata-kata Hasan al-Basri. Abu Sulaiman ad-Darini pernah berkata: “Sesungguhnya aku bila keluar dari rumah, aku pastikan mataku tidak lain hanya untuk melihat keagungan Allah, padanya aku memperolehi kenikmatan dan ibrah.”

2. Tafakur tentang kitabullah. Allah berfirman yang bermaksud: “Apakah kamu tidak memerhatikan al-Quran” (Muhammad: 24). “Sesungguhnya kami telah mempermudahkan al-Quran sebagai peringatan, maka adakah sesiapa yang mahu mengambil peringatan dan pengajaran” (al-Qamar: 17). Semakin kita mentadabbur al-Quran, semakin kita bertemu rahsia-rahsia al-Quran, semakin menyentuh dan melembut jiwa, semakin membugar dan merefreshkan hati kita. Alangkah indahnya saat-saat baginda berqiamullail, baginda selalu membacakan satu ayat dari surah al-Maidah, ayat 118 “Jika Engkau menyeksa mereka, sesungguhnya mereka adalah hambaMu, jika Engkau memberi keampunan untuk mereka, maka sesungguhnya Engkau Maha Perkasa dan Maha Bijaksana..”.

3. Berfikir tentang nikmat Allah dan sunnatullah. Berfikirlah tentang banyaknya nikmat Allah kepada kita, dari sekecil-kecil nikmat sehingga sebesar-besar nikmat. Dari nikmat yang dapat dilihat dan dirasa kepada nikmat yang tidak dapat dilihat dan dirasa. Dan sebesar-besar nikmat ialah nikmat Iman dan nikmat Islam. Mari kita bertafakur tentang sunnatullah pada ciptaanNya. Lihatlah keunikan dan kreativiti ciptaan pada makhluk-makhluknya, pada kejadian langit dan bumi, deria-deria, sistem mata rantai makanan, alam astronomi, galaksi dan sebagainya. Semua ini dapat menyubur dan menyegar hakikat kekerdilan diri dan menambah keimanan kita.

4. Perbanyakkan ibadah wajib dan tambahkanlah dengan ibadat nawafil. Laksanakanlah ibadah dengan penuh kesungguhan, penuh khusyuk dan tadarru’. Segeralah menunaikan solat berjamaah di masjid, kerjakanlah ia di awal waktu, perbanyakkan tilawah Quran, berqiamulalil, berpuasa dan sentiasa berzikir.

5. Perangilah kebatilan dengan kuasa kebenaran. Iman yang hidup adalah iman yang dipenuhi dengan jiwa mempertahankan al-Haq. Kebatilan pasti akan musnah dan hancur jika hati merasa bangga dengan keimanan dan al-Haq. Jiwanya tidak akan gentar dan takut kerana tempat harapan dan pergantungannya adalah Allah. Ambillah inspirasi dan motivasi dari surah Ali-Imran, ayat 173 dan al-Ahzab, ayat 22.

Tahap Dakwah:

1. Meningkatkan kualiti halaqah kita dengan menjadikan ia pusat tarbiyah untuk membangunkan iman yang hidup. Hidupkan halaqah kita dengan atmosfera imani (tilawah + hafazan + doa rabithah + taujih imani) dan aktiviti imani (mabit + ziarah kubur + solat fajar bersama + solat nafilah berjamaah + membaca kitab raqaiq dan tazkiyah an-nafs).

2. Tingkatkan kualiti murabbi yang melaksanakan empat peranan utamanya seperti kata-kata Imam Hasan al-Banna (bapa – kasih sayang, syeikh – kerohanian, ustaz- keilmuan dan pemimpin – kepemimpinan). Ini kerana Murabbi itu adalah syeikh tarbiyah ruhiyyah dan bapa ruhi pada mutarabbi. Dia membangun iman mutarabbinya, menyubur dan memantau jadual muhasabah harian mutarabbinya.

3. Sentiasa menjadikan solat malam sebagai amalan warisan dari generasi salaf yang mendapat kemulian. Solat yang melembut jiwa, mengalir air mata keinsafan dan menumbuh kekhusyukan, jauh dari runtunan dunia dan pesonanya.

4. Memfokuskan aspek imani dan ruhi dalam setiap acara pertemuan dan perkhemahan di samping objektif lain bagi acara-acara tersebut.

5. Mulakan setiap agenda pertemuan dengan taujih imani dan khawatir imani.

6. Meletakkan isu iman sebagai prioriti utama dalam mengurus dan mengendalikan organisasi.

7. Hidupkan makna ruh ukhuwwah imaniyah di dalam kehidupan kita. Carilah teman yang solih yang akan memberikan nasihat ketika kita lupa. Teman yang baik ibarat penjual minyak wangi, begitulah sebaliknya teman yang buruk ibarat tukang besi. “Al-mukmin miraatu akhihi..” (Mukmin itu adalah cermin saudaranya).

Ayuh! Bangun dan bugarkan iman Kita.

Sumber : ISMAWEB

0 comments:

Post a Comment